ALLAH menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat umat manusia. Bagaimanapun, tidak ramai yang menghargai nikmat alam sekitar itu. Hal ini menyebabkan ada di kalangan manusia memandang enteng nikmat tersebut sehinggakan bertindak menggondolkan bukit-bukau sewenang-wenangnya.
Sehubungan itu, Allah memberi peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf. (al-Rum: 41)
Berkenaan tanggungjawab manusia memelihara alam sekitar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Nidzamuddin Zakaria bagi mengupas isu ini.
Mega: Apakah konsep penjagaan alam sekitar dalam Islam?
Nidzamuddin: Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu 1972 menjelaskan bahawa alam sekitar adalah: “Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa’id dan Rasyid Ahmad. 1986. Al-Bi’ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah.Hal. 25).
Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini di dalam kitabnya al-Jumanah dengan penjelasannya bahawa: “Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”. (Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-Fiqqiyy. 1993. Al-Bi’ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)
Al-Quran dan sunah memberikan penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber perundangan ini menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Tuhan yang agung. Ia melarang pencemaran di samping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam di mana usaha murni ini di sanjung mulia agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Tuhan. Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran bumi. Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan awam terancam.
Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras Islam Hadhari.
Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ...(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka. (ali-Imran: 191).
Ayat ini menunjukkan bahawa alam sekitar fizikal dan seluruh cakerawala adalah tanda kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. Orang beriman sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah ketika peperangan.
Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.
Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah satu lagi contoh keengganan manusia mematuhi perintah Allah sebagaimana dalam surah ar-Rum: 41. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
Nidzamuddin: Kalau kita meneliti sumber-sumber syarak dan usul-usulnya, pasti kita akan melihat asas-asas dan dasar-dasar yang murni yang digagaskan oleh Islam. Ia bagi memandu dan memimpin suatu etika dan akhlak yang terpuji bagi setiap individu muslim berperanan dan bermuamalah secara positif dengan alam sekitar ciptaan Ilahi ini agar warisan tersebut tidak pupus atau rosak di tangan manusia itu sendiri.
Akhirnya, ketiadaan sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini boleh membawa kepada kemusnahan, kerosakan dan bencana yang menimpa manusia itu sendiri.
Allah menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41).
Tindakan paling drastik yang perlu dilakukan umat Islam adalah kembali kepada Islam itu sendiri, tinggalkan budaya atau gaya hidup yang jauh daripada Allah dan syariat-Nya. Barangkali musibah seumpama ini adalah peringatan untuk kita agar jangan lalai dan leka terhadap peranan kita selaku hamba dan khalifah-Nya di muka bumi ini.
Islam adalah agama yang mengikat hubungan kita dengan Pencipta dan menjalin hubungan manusia sesama manusia.
Islam juga menyusun peradaban dan etika manusia dengan makhluk sekitarnya meliputi alam dan ciptaan Tuhan yang berada di atasnya bersesuaian dengan agenda utama manusia di muka bumi ini selaku khalifah Tuhan yang mentadbir dan mengurus dunia ini dengan saksama dan penuh bijaksana demi kemaslahatan manusia dan keharmonian alam sekitarnya.
Bukit-bukau dan gunung-ganang dijadikan Allah sebagai pasak bumi (al-Anbiya’: 31). Apakah saranan Islam tentang pembangunan seimbang (sustainable development)?
Nidzamuddin: Kita perhatikan dahulu ayat al-Quran itu tadi. Allah menegaskan: Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’: 31).
Ayat ini menegaskan bahawa fungsi sebenar bukit-bukau dan gunung-ganang itu ialah sebagai pasak kepada bumi. Meneres kawasan bukit-bukau sesuka hati tanpa kawalan dan sempadan mengundang ketidakseimbangan muka bumi itu sendiri.
Justeru, pembangunan yang seimbang ini amat dititik beratkan dalam ayat Allah yang lain antaranya firman Allah yang bermaksud: Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. (al-Hijr: 19).
Sistem keseimbangan dalam alam sekitar yang diaturkan Penciptanya ini lebih dikenali sebagai ekosistem yang sangat unik dan sistematik. Seluruh unit dalam sistem telah diprogramkan Allah agar mengikuti sistem atau sunnatullah yang hebat ini.
Sebagai contoh, matahari dan bulan ditentukan Allah berfungsi dalam ekosistem ini selaku penyumbang cahaya mengikut kadar peratusan yang tertentu.
Jika kadar pencahayaan matahari itu melebihi peratusan yang sepatutnya, maka tentulah alam dan hidupan di atas permukaannya bakal mengalami kemusnahan dan kebakaran.
Begitu juga kadar oksigen dalam udara yang telah ditentukan Allah sejumlah 21 peratus, maka andainya kadar oksigen itu menjangkau 50 peratus, nescaya alam dan hidupan di atas permukaannya juga pasti mengalami kemusnahan dan kebakaran. Begitulah al-Quran melukiskan peri pentingnya keseimbangan ekosistem ini untuk dipelihara oleh khalifah Tuhan atau manusia di muka bumi ini sebaik-baiknya. (Tibarah, ‘Afif bin Abdul Fattah. Ruh al-Din al-Islami. Beirut: Dar al-Malayin li al-‘Ilmi. Hal. 57).
Akhirnya, renungilah seruan Ilahi untuk hamba-hamba-Nya bagi menjaga alam sekitar khususnya bukit-bukau dan gunung-ganang ciptaan terindah Tuhan menerusi ayat yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Faatir: 27 -28)
Sebilangan manusia berpendapat, penjagaan alam sekitar tugas pihak tertentu sahaja. Justeru, bebas membersihkan hutan, membuang sampah merata-rata. Adakah pandangan begini tepat?
Nidzamuddin: Pandangan ini tidak tepat sama sekali! Ia mencerminkan sikap mementingkan diri sendiri dan tidak prihatinnya terhadap warisan alam. Yang sebenarnya, manusia itu adalah unsur atau entiti yang maujud di tengah-tengah alam sekitar, bahkan Islam meletakkan manusia selaku unsur paling penting di dalamnya berbeza dengan hidupan lain yang hanya bersifat material dan kosong maknawi atau rohaninya di mana setiap insan itu bertindak selaku pengurus atau pentadbir alam sekitar itu.
Justeru, dengan kelebihan ciptaan manusia daripada unsur material dan maknawi, maka manusia dinobatkan selaku pemimpin dan khalifah Tuhan yang mengurus dan mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.
Firman Allah bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (al-Hijr: 28-29).
Hal ini disokong pula dengan hadis Nabi SAW bermaksud; Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya. (Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. 2004. (Rujuk: Jami’ al-Tirmizi. Kitab al-Fitan. Hadis No. 2191. Riyadh: Bait al-Afkar al-Dauliyyah).
Faktor keuntungan dan wang ringgit adakalanya mengelabui mata menyebabkan pihak tertentu seperti jurutera, ahli geologi dan sebagainya ‘menipu’ dan menyembunyikan kebenaran tentang bahaya yang mungkin berlaku apabila mendirikan bangunan di lereng-lereng bukit. Apakah balasan Allah terhadap golongan sebegini?
Nidzamuddin: Inilah bahana dan bahayanya apabila pihak yang berwajib dan yang berautoriti dari segi kuasa dan keilmuannya tidak bersikap profesional, telus dan bertanggungjawab.
Ketamakan pada keuntungan yang melambak-lambak akan mengenepikan soal bahaya dan risiko yang bakal menimpa. Ya, memang ada orang yang kaya dan mampu membina semula banglo yang runtuh itu lantaran kekayaannya yang tidak terkira. Lebih mengejutkan ialah ada yang berani membangunkan semula bangunan baru di lokasi yang telah berlaku tanah runtuh.
Namun soal nyawa, harta benda yang terbuang dan musnah begitu sahaja serta ‘pencabulan terhadap keharmonian alam sekitar’ itu sendiri adalah suatu isu yang perlu dititik beratkan.
Pokok-pokok yang subur menghijau bukan sekadar dilihat sebagai ciptaan Allah yang mendamai dan menakjubkan, bahkan Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memeliharanya daripada ditebang dan dimusnahkan.
Ini terserlah melalui larangan keras Baginda terhadap usaha penebangannya yang tanpa sebab dan melampau bermaksud: “Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. (Rujuk: Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani. T.th. Sunan Abi Daud. Kitab Adab. No. Hadis: 4561. Juzuk 4. Hal. 361).
Imam Abu Daud mengulas maksud hadis ini setelah disoal mengenainya dengan penjelasannya: “Barangkali yang dimaksudkan dengan amaran Nabi SAW dengan penebangan pokok tanpa sebab ini adalah terhadap pokok-pokok yang terdapat di padang pasir yang dijadikan tempat teduhan orang yang lalu lalang atau para musafir.”
Kalau nak dikiaskan dengan geografi negara kita, maka pokok-pokok di lerengan bukit-bukau itu juga dilarang Islam menebangnya tanpa bersebab dan kawalan. Kalau isu penebangan pokok atau peneresan bukit-bukau ini tidak dikawal secara serius, maka tidak mustahil bahawa kita akan menyaksikan banyak lagi penempatan di kawasan-kawasan bukit akan menjadi mangsa tanah runtuh ini.
Adakah kepincangan yang berlaku sekarang disebabkan kurangnya sifat ihsan di kalangan kita sehingga adakalanya kita menipu dalam sukatan pembinaan dan sebagainya?
Nidzamuddin: Ya, saya setuju bahawa ia adalah antara faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kemusnahan alam ini. Kerakusan membolot projek-projek yang mega dan bernilai juta ringgit kadang-kadang menghakis norma-norma kemanusiaan dan perasaan ihsan sesama insan bahkan terhadap alam sekitar itu sendiri.
Memang benar alam tidak menjerit dan melolong apabila diperlakukan penebangan atau peneresan bukit-bukau dengan sewenang-wenangnya, namun kerakusan ini akan berakhir dengan dentuman bangunan runtuh, suara tangisan mangsa tanah runtuh dan kerosakan harta benda yang begitu besar.
Justeru, Allah melarang keras penipuan ini khususnya dalam sukatan dengan firman-Nya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (al-Mutaffifin: 1-4).
Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan. Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia.
Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.
Oleh yang demikian, manusia perlu ingat bahawa dia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.
Islam larang rosakkan bumi
Posted by : Boy Azwar Azhar on Thursday, January 1, 2009 | Etiketter: Agama | 0 Comments
Hukum melukis gambar
SoalanSAYA ingin bertanya adakah haram di sisi Islam melukis gambar sama ada hidup atau tidak hidup। Ada sesetengah pendapat berkata jika kita melukis sesuatu gambar tanpa sebarang tujuan melainkan belajar, gambar yang kita lukis itu di akhirat kelak akan meminta nyawa dengan kita. Adakah betul perkara itu?
JawapanPersoalan berkaitan dengan melukis gambar dan hukumnya para ulama mempunyai pandangan yang berbeza। Ini disebabkan cara nas yang menghalang melukis gambar itu mempunyai beberapa tafsiran. Setiap tafsiran disandarkan kepada alasan yang dilihat itulah maksud nas itu.
Dalam hal ini ada sebuah hadis yang menerangkan, bahwa Jibril a.s. pernah minta izin kepada Nabi SAW untuk masuk rumahnya, kemudian kata Nabi SAW kepada Jibril as: "Masuklah! Tetapi Jibril menjawab: Bagaimana saya masuk, sedang di dalam rumahmu itu ada cadar dinding yang penuh gambar! Tetapi kalau kamu mahu terus menggunakannya, maka putuskanlah kepalanya atau potonglah untuk dibuat bantal atau buatlah tikar (tikar lantai)". (Riwayat Nasa'i dan Ibnu Hibban)
Oleh yang demikian apabila Aisyah mendapati kemarahan pada wajah Nabi SAW disebabkan cadar dinding yang bergambar, lalu Aisyah memotong cadar tersebut kemudian dijadikannya dua, iaitu potong dua sehingga objek dalam cadar itu tidak lagi sempurna।
Dalam hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya tuan punya gambar ini akan disiksa pada hari kiamat lalu akan dikatakan kepadanya: "Hidupkan barang yang jadikan, dan sesungguhnya para Malaikat tidak akan masuk rumah seseorang itu itu selagi mana di dalamnya ada gambar (patung)". (riwayat al-Bukhari)
Dalam kebanyakan hadis yang disebut di dalamnya kalimah (suroh) yang bererti gambar yang dimaksudkan dalam kebanyakan hadis ialah patung yang dibuat dengan tangan। Membuat atau memahat patung adalah haram dan hal ini disepakati oleh para ulama.
Dalam masa yang sama ada juga hadis yang membawa maksud gambar yang dilukis.
Membuat atau memahat patung adalah haram dan hal ini disepakati oleh para ulama.
Misalnya Urwah, dia bersandar pada lapik sandaran yang bergambar, di antaranya gambar burung dan orang lelaki। Kemudian Ikrimah berkata: Mereka memakruhkan gambar yang dilukis (patung) sedang ia yang dipijak kaki, misalnya di lantai, bantal dan sebagainya, mereka menganggap tidak apa-apa.
Satu hal yang tidak diragukan lagi, bahawa semua persoalan yang berkaitan dengan gambar dan menggambar, yang dimaksud ialah gambar-gambar yang dipahat atau dilukis.
Dalam ledakan dan percambahan teknologi yang semakin canggih gambar dihasilkan dengan pelbagai cara, dengan melukis menggunakan pelbagai software yang boleh didapati di pasaran। Jadi adakah hukumnya sama? Seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang sahih mengenai hukum melukis?
Adapun masalah gambar yang diambil dengan menggunakan kamera dihukum harus. Ini kerana persoalan mengambil gambar melalui kamera dilihat lain dari melukis secara klasik.
Jelasnya persoalan ini adalah seperti apa yang pernah difatwakan oleh Mufti Mesir, Sheikh Muhammad Bakhit: "Bahawa fotografi itu adalah merupakan penahanan bayangan dengan suatu alat yang telah dikenal oleh ahli-ahli teknik। Cara semacam ini sedikitpun tidak ada larangannya".
Subjek gambar yang diharamkan
Yang sudah pasti, bahawa subjek gambar mempunyai pengaruh soal haram dan halalnya. Misalnya gambar yang subjeknya itu menyalahi akidah dan syariat serta tata kesopanan agama, adalah haram secara sepakat dari kalangan para ulama.
Oleh kerana itu gambar-gambar perempuan tidak berpakaian ataupun setengah bogel, dinampakkannya bahagian-bahagian anggota khas wanita dan tempat-tempat yang membawa fitnah।
Ibnu Abbas meriwayatkan: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada waktu tahun penaklukan Mekah melihat palung-patung di dalam Baitullah, maka ia tidak mau masuk sehingga ia menyuruh, kemudian dihancurkan. (riwayat Bukhari).
Tidak diragukan lagi, bahawa patung-patung yang dimaksud adalah patung yang dapat dinilai sebagai berhala orang-orang musyrik Mekah dan lambang kesesatan mereka di zaman-zaman dahulu।
Adapun minat seseorang yang ingin melukis dengan niat belajar adalah harus dari sudut hukumnya. Ada yang belajar melukis sekadar belajar tidak lebih dari itu. Ada yang belajar untuk menjadikan kerjaya dalam hidup, dalam mencari rezeki. Namun adalah lebih baik keluar dari perkara khilaf (perselisihan) dan ambil perkara yang tiada diperselisihkan. Yang diperselisihkan oleh ulama ialah dalam persoalan melukis gambar makhluk yang bernyawa.
Lebih baik melukis gambar-gambar yang subjeknya pemandangan seperti pemandangan laut, air terjun, gunung ganang dan sebagainya. Dengan demikian terhindar daripada perselisihan ulama.
Posted by : Boy Azwar Azhar on | Etiketter: Agama | 0 Comments
Istanbul kota yang dijanji dalam hadis
Tidak kurang 50,000 orang dari segenap penjuru dunia menunjukkan simpatinya pada al-Aqsa dengan menghadiri Persidangan al-Quds di kota bersejarah Istanbul।
Dalam hadis Rasulullah SAW diriwayatkan dengan maksud: “Abdullah bin Amru bin al'As berkata bahawa ketika kami duduk di sekeliling Rasulullah SAW untuk menulis, tiba-tiba Baginda ditanya tentang kota manakah yang akan futuh (dibuka) terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom? Rasulullah SAW menjawab: "Kota Heraklius terlebih dahulu (maksudnya Konstantinopel).” (riwayat Imam Ahmad)
Hadis lain juga ada yang menyebutkan secara jelas tentang jatuhnya kota Konstantinopel ke tangan umat Islam yang bermaksud: "Rasulullah SAW bersabda: Kamu akan pasti membebaskan Konstantinopel, sehebat-hebat Amir (Panglima Perang) adalah Amirnya dan sekuat-kuat pasukan adalah pasukannya." (riwayat Imam Ahmad)
Setelah sekian lama berita gembira mengenai kejatuhan Konstantinopel ke tangan Islam diberitahu, namun tidak juga kunjung tiba walaupun generasi sahabat telah meninggal dunia dan diikuti generasi tabi'in।
Tetapi pada akhir pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih, kota Istanbul akhirnya jatuh juga ke tangan Islam, sebagai bukti kebenaran hadis Rasulullah SAW.
Sejak itu Istanbul akhirnya menjadi ibu kota khalifah Islamiah hingga 1924, dan menjadi benteng kekuatan umat Islam dalam menghadapi pengaruh Zionis dunia yang ingin memasuki bumi Baitulmaqdis।
Setelah selesai kongres Zionis antarabangsa yang diselenggarakan di Basel, Swiss pada 1897,seorang wartawan Yahudi Austria, Theodore Hertzl terpilih mengetuai gerakan Zionis lantang menyatakan, Palestin sebagai 'rumah' bagi kaum Yahudi yang bertebaran di seluruh dunia।
Untuk tujuan itu, Hertzl menemui Sultan Abdul Hamid 11, khalifah Turki Usmaniyah, di mana pada waktu itu Palestin merupakan sebahagian daripada kekuasaan kekhalifahan Islam.
Sultan Abdul Hamid 11 menolak mentah-mentah segala daya usaha Hertzl, meskipun waktu itu kekuatan kekhalifahannya sedang terancam।
Beliau dikenali dengan penyataannya yang popular: “Meskipun kamu mencubik-cubik tubuhku menjadi serpihan-serpihan daging, tidak akan aku serahkan Palestin kepada kamu.''
Istanbul adalah kota perjuangan mempertahankan al-Aqsa daripada pengaruh Zionis। Justeru, Persidangan al-Quds dilangsungkan di Istanbul untuk mengembalikan kegemilangan al-Aqsa.
Aal-Aqsa kini menjadi rebutan dan terdapat perancangan Zionis untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa dan dijadikan pusat peribadatan Yahudi antarabangsa. Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah di Mekah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada dalam kawasan jajahan Yahudi.
Jika dilihat gambar yang diedarkan sekarang, tentu ramai yang menyangka bahawa masjid itu adalah Masjid al-Aqsa। Pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjid al-Aqsa dengan putar belit dan dakyah mereka.
Tujuan mereka ialah untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Apabila umat Islam sudah keliru dan sukar untuk membezakan Masjid al-Aqsa yang sebenarnya, maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan jahat tersebut.
Muhammad al-Fatih
Manakala mengenai Muhammad al-Fatih yang membuka dan membebaskan kota Istanbul, dalam bahasa Turki, Muhammad sering disebut dengan Fatih Sultan Mehmet। Beliau lahir pada 30 Mac 1432 dan wafat pada 3 Mei 1481.
Merujuk segi kesolehannya, Muhammad al-Fatih disebutkan tidak pernah meninggalkan tahajud dan solat rawatib sejak baligh hingga waktu wafatnya। Pendekatannya kepada Allah SWT diajarkan kepada tenteranya. Sehinggakan tenteranya tidak pernah meninggalkan solat fardu dan solat tahajud sejak baligh. Itulah barangkali kunci utama kejayaannya dan tenteranya dalam menaklukkan kota Istanbul sebagaimana dalam hadis di atas.
Prestasinya menakluki kota Istanbul, beliau kemudian mendapat gelaran 'Al-Fatih' yang bererti penakluk atau pembebasan। Barangkali juga jolokan gelaran itu diberikan kepadanya kerana para pelaku sejarah sebelumnya tidak pernah berhasil menakluk Istanbul walaupun ada hadis mengenai hal itu.
Manakala orang Barat menyebutnya The Conqueror (penakluk)। Ada implikasinya bila menyebut penakluk, bahawa beliau seolah-olah pemimpin yang ganas dan kejam. Pada hal gelaran yang sebenarnya dalam bahasa Arab adalah 'Al-Fatih'.
Di samping itu, beliau merupakan seorang yang sangat pakar dalam peperangan dan pandai berkuda. Ada yang mengatakan bahawa sebahagian hidupnya dihabiskan di atas kudanya.
Lebih menarik, meskipun beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan, namun kerana kepakarannya dalam ilmu strategi perang, hampir seluruh perjalanan jihadnya adalah di bawah pimpinannya। Bahkan beliau tetap berangkat berjihad walaupun sedang menderita penyakit.
Beliau juga ahli di bidang pentadbiran negara, baik secara fizikal atau birokrasi dan hukum. Kehebatan beliau dalam mentadbir negaranya menjadi negara yang sangat maju diakui oleh banyak ilmuan dunia. Bahkan secara serius beliau banyak melakukan pembaikan dalam hal perekonomian, pendidikan dan lain-lain.
Dari segi kepimpinan, Istanbul dalam waktu singkat sudah menjadi pusat pemerintahan yang sangat indah dan maju serta kota ekonomi yang berjaya.
Beliau juga pakar dalam bidang sains dan matematik serta menguasai enam bahasa sejak berumur 21 tahun। Seorang pemimpin yang hebat namun cukup bertawaduk dan merendahkan dirinya.
Maka tidaklah hairanlah tenteranya paling rajin bersolat fardu dan sunat.
Setelah menakluk kota Konstantinopel, namanya diubah kepada Islambul yang bererti Kota Islam, Kemudian nama itu telah diganti oleh Mustafa Kemal Ataturk menjadi Istanbul.
Sejak itu ibu kota khalifah Bani Usmaniyah beralih ke kota Istanbul dan menjadi pusat peradaban Islam dunia selama beberapa abad kemudian। Kerana kota itu dibangun dengan segala bentuk dan seni keindahannya, percampuran antara seni Eropah Timur dan Arab jelas ketara.
Gereja-gereja dan tempat ibadat bukan Muslim dibiarkan berdiri dan tidak diganggu। Sementara khalifah membangun gedung-gedung yang indah dan cantik yang dapat disaksikan hingga kini.
Kejayaannya itu menyebabkan banyak kawan dan lawan kagum dengan kepemimpinannya serta taktik strategi peperangan yang dikatakan mendahului zamannya.
Sebagai memperingati jasa Muhammad al-Fatih, Masjid al-Fatih telah dibangunkan di sebelah makamnya di Istanbul।
Posted by : Boy Azwar Azhar on | Etiketter: Agama | 0 Comments
Nabi Yusuf dan godaan Zulaikha
DAN wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: "Marilah memperlakukan aku dengan baik।" Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu dengan Yusuf dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih. (Yusuf: 23-24)
Zulaikha merupakan isteri kepada pembesar Mesir yang membeli Nabi Yusuf daripada rombongan kalifah yang menjualkan। Zulaikha tertarik dengan ketampanan yang dimiliki oleh Nabi Yusuf. Ketampanan Nabi Yusuf ini juga telah membuatkan Zulaikha jatuh cinta terhadapnya.
Pada suatu hari, Zulaikha berniat untuk menggoda Nabi Yusuf. Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Zulaikha telah menutup kesemua pintu rumahnya lalu mendekati Nabi Yusuf sambil berkata, "Wahai Yusuf, kemarilah engkau ke sini," ajak Zulaikha.
"Aku berlindung kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya। Sesungguhnya suamimu telah memperlakukan aku dengan baik," jawab Nabi Yusuf.
Zulaikha tidak mengendahkan kata-kata Nabi Yusuf itu। Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf berjaya mengelakkan dirinya. Nabi Yusuf terus berlalu ke muka pintu. Zulaikha mengejarnya dan sempat menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.
Pintu bilik terus dibuka. Zulaikha amat terkejut apabila melihat suaminya berdiri di muka pintu. Pembesar tersebut memandang mereka dengan wajah yang penuh curiga. Untuk membela dirinya, Zulaikha telah menuduh Nabi Yusuf cuba menggodanya.
"Wahai suamiku, balasan apakah yang patut diberikan kepada orang yang cuba menggoda isterimu?" kata Zulaikha, berpura-pura tidak bersalah।
"Dia yang menggodaku. Aku menolak ajakan isterimu, lantas dia menarik bajuku lalu terkoyak," jelas Nabi Yusuf sebagai membela dirinya.
Pembesar tersebut mendengar penjelasan daripada Zulaikha dan juga Nabi Yusuf। Untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan, pembesar itu telah mengambil seorang saksi daripada ahli keluarga untuk mengadili perkara tersebut.
"Jika pakaian Yusuf ini koyak di hadapan, maka kata-kata Zulaikha itu benar dan Yusuf telah berdusta। Tetapi, jika baju itu koyak di belakang, maka Zulaikhalah yang berdusta dan Yusuf bercakap benar," kata wanita itu.
Apabila melihat kepada pakaian Nabi Yusuf itu, maka terbuktilah bahawa Zulaikha yang berdusta dalam perkara itu. Pembesar tersebut meminta maaf dan Nabi Yusuf akhirnya terlepas daripada fitnah yang dilemparkan oleh Zulaikha.
- Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
Posted by : Boy Azwar Azhar on | Etiketter: Agama | 0 Comments
